Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Allah limpahkanlah Solawat ke atas Muhammad dan Keluarganya, dan Semoga laknat-Nya ke atas musuh-musuh mereka.
Atheis sering melontarkan cabaran kepada para mukmin dengan soalan ini:
Sekiranya Tuhan itu wujud, Maha Adil dan Penyayang, maka mengapa kita melihat bencana-bencana besar terjadi di dunia ini, seperti gempa bumi, banjir dan ribut, yang membunuh ribuan mangsa yang tidak bersalah – termasuk kanak-kanak yang belum lagi boleh disalahkan untuk apa-apa – yang mengubah kehidupan orang yang terselamat menjadi neraka kerana kehilangan harta benda mereka atau kerana mereka menjadi cacat? Apa yang telah dilakukan orang-orang yang tidak bersalah itu dan mengapa mereka menghadapi kejahatan ini. Adakah Tuhan itu jahat?
Melalui soalan dengan hujah ini, Atheis berusaha membuat para mukmin meragui kewujudan Tuhan walaupun soalan ini pada dasarnya tidak mempunyai parameter saintifik dan berpunca dari pandangan yang tidak seimbang mengenai kejadian semula jadi.
Mengaitkan kejahatan dengan kejadian-kejadian ini hanya terkait dengan kehidupan beberapa kumpulan individu yang merasakan kesan akibat ditimpa musibah apabila mereka mengalami kerugian tertentu. Ini hanyalah sebahagian sahaja daripada banyak kesan lain akibat daripada bencana-bencana ini. Sebahagiannya, ada yang positif, berguna atau bermanfaat bagi kehidupan manusia. Adakah wajar untuk membuat generalisasi mengenai kesan-kesan negatif daripada kejadian ini dan menyesatkan orang lain untuk berfikir bahawa semuanya adalah jahat?
Marilah kita melihat perkara itu dengan objektif yang lebih besar dan mempertimbangkan beberapa contoh. Apabila terdapat banjir teruk di salah satu sungai besar di Afrika, misalnya, desa-desa di sekitar sungai itu tenggelam di bawah air, orang-orang mati, rumah-rumah dan harta benda musnah, dan banyak keluarga kehilangan tempat tinggal. Di sini, penduduk kampung ini berfikir bahawa banjir itu jahat dari sudut pandang mereka dan berharap ia tidak pernah berlaku.
Tetapi pada waktu yang sama, disebabkan banjir jugalah, air tawar sampai ke desa-desa yang jauh di mana penduduknya mati kelaparan dan hidup miskin, bumi tandus disirami, tumbuh-tumbuhan bertumbuh, hasil pertanian meningkat, yang lapar diberi makan, pendapatan penduduknya meningkat, aktiviti jual-beli juga meningkat, durian runtuh tiba-tiba turun ke atas pemilik tanah, kediaman menjadi makmur dan banyak keluarga menjadi bahagia. Di sini, penduduk kampung ini menganggap banjir adalah perkara baik bagi mereka dan bersyukur kepada Tuhan atas kejadian itu.
Apabila terdapat angin kencang, ia sampai ke pantai-pantai. Kampung-kampung di pinggir pantai ditimpa kesusahan, ramai orang yang mati, rumah-rumah menjadi musnah dan sebagainya. Menurut penduduk di kampung-kampung ini, ribut itu jahat. Namun, pada masa yang sama, angin kencang inilah yang menggerakkan kapal-kapal yang berlayar di lautan menyelamatkan mereka yang berada di dalam kapal daripada mati lemas dan angin kencang yang sama inilah juga yang membentuk awan yang kemudiannya menjadi air hujan yang turun di tanah-tanah yang pelbagai, membasahi bumi.
Angin kencang yang sama juga yang menggerakkan kincir angin membawa kekayaan dan rezeki kepada pemiliknya. Angin ganas yang sama inilah yang menyeimbangkan suhu planet bumi, menjaganya takatnya dan menghalangnya naik melalui lapisan awan yang meruap ke langit dan membantu memperbaiki lapisan ozon. Hal inilah yang menyebabkan buah-buahan dan bunga-bungaan dipolinasi. Hal inilah juga yang menyerakkan asap dan gas-gas beracun yang dikeluarkan oleh kilang-kilang yang tertumpu di bandar-bandar perindustrian dan sekitarnya, membersihkan udara dan menyelamatkan manusia dari penyakit-penyakit barah, penyakit paru-paru dan kecacatan kelahiran akibat asap toksik yang dihidu oleh ibu bapa, dan sebagainya. Di sini, angin ini baik untuk semua orang-orang ini.
Apabila terdapat gempa bumi yang kuat di suatu kawasan, orang-orang di bahagian itu mati dan harta benda mereka musnah dan sebagainya. Di sini, gempa ini adalah jahat dari sudut pandang mereka, tetapi pada masa yang sama, gempa bumi inilah yang menghalang tahap kerak bumi daripada tenggelam ke tahap sehingga laut meliputi ratusan dan mungkin ribuan kampung – sesuatu yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa memandangkan permukaan laut di seluruh dunia meningkat setiap hari.
Gempa bumi mengangkat lapisan keras di bawah bumi melalui gunung berapi bawah tanah yang menyeimbangkan kenaikan aras air laut. Melalui ini, nyawa manusia dapat diselamatkan di muka bumi. Gempa mengembalikan susunan kimia planet ini. Bumi perlu melalui sistem gempa bumi untuk mengimbangi komponen kimia gas dan unsur-unsur lain yang penting untuk kelangsungan kehidupan di muka bumi ini. Pada dasarnya, gempa bumi inilah yang menjadikan benua-benua di mana kita hidup hari ini dan mereka terus membentuk pulau-pulau di lautan melalui gunung berapi volcano yang memuntahkan larva, yang menguat dan menjadi kerak.
Demikian juga, gempa bumi inilah yang menyebabkan mineral dan logam berharga seperti emas dan perak dipaksa keluar ke permukaan bumi, yang membawa kepada kemakmuran manusia dan menggerakkan putaran roda pertumbuhan ekonomi. Di sini gempa bumi ini baik untuk manusia.
Oleh itu, kita tidak dapat menghakimi kejadian semula jadi ini dan mengatakan bahawa ia adalah kejahatan murni sebagai akibat dari pandangan sempit mengenai beberapa kesan negatifnya terhadap beberapa orang. Sekiranya kita melihat secara lebih luas kesannya, kita akan mendapat banyak faedah baik dan positif dalam pelbagai sudut. Kita akan memahami ia semuanya perlu ada untuk memastikan kehidupan kekal di planet kita terus kekal.
Perkara itu semuanya saling berkaitan. Apa yang jahat bagi sesetengah orang akibat daripada kejadian ini pada masa yang sama baik untuk orang lain. Tidak adil bagi manusia untuk melihat kejadian ini dengan cara egosentrik. Ini seperti perumpamaan seseorang yang melewati jalan dan melihat penggali menggali tanah menyebabkan terhasilnya asap debu dan serpihan di udara dengan lalu lintas terhenti di jalan dan melihat keadaan-keadaan tersebut sambil mendengar bunyi yang kuat yang menjejaskan penduduk sekitarnya. Dia menggambarkan apa yang berlaku sebagai kerja yang mendatangkan keburukan dan berbahaya tanpa menyedari bahawa apa yang dilakukan oleh penggali adalah untuk mempersiapkan pembinaan sekolah besar atau hospital besar di mana orang sakit akan dirawat dan nyawa orang akan diselamatkan.
Perkara itu relatif. Bahkan cahaya, yang kita anggap sebagai salah satu faedah terbesar yang pernah ada – kerana tanpanya kita tidak akan dapat melihat apa-apa dan kita bahkan tidak mempunyai kehidupan sama sekali – dianggap oleh kelawar sebagai buruk, kerana ia membawa kepada kehilangan penglihatan, menghalangnya bergerak, dan terpaksa bersembunyi di gua menunggu datangnya gelap, yang baik untuknya. Oleh itu, tidak tepat untuk kita membuat penilaian dangkal mengenai fenomena semula jadi sama seperti kita tidak dapat mengeneralisasikannya dengan hanya berpegang kepada salah satu kesan negatifnya sambil mengabaikan beberapa kesan positif yang besar yang tersembunyi di dalamnya.
Ini adalah perkara pertama. Bagi perkara kedua, banyak bencana alam yang berlaku pada hari ini adalah angkara manusia kerana kehancuran susun atur semula jadi planet bumi. Menjalankan ujian nuklear, melancarkan perang menggunakan senjata moden yang merosakkan, tidak menghentikan pengeluaran asap dan gangguan dalam sistem semula jadi inilah yang menyebabkan bencana yang kita saksikan hari ini dan mengancam kehidupan di planet kita, [catastrophes] seperti pemanasan global , penipisan lapisan ozon, pencairan lapisan dataran kutub ais, kenaikan aras air laut dan kekurangan air untuk diminum dan sebagainya.
Semua ini menyumbang kepada kekurangan kestabilan semula jadi, yang secara tiba-tiba menimbulkan salah satu bencana seperti gempa bumi, banjir, dan taufan. Mengapa kita menyalahkan Tuhan untuk itu sedangkan kita harus menyalahkan diri sendiri dan membendung keserakahan kita yang menginginkan wang dan kekayaan dengan mengorbankan survival kehidupan di bumi.
Masih tinggal soalan yang memerlukan jawapan. Soalan itu seperti:
Baiklah. Kami menerima bahawa fenomena alam persekitaran di samping menyebabkan beberapa kesan negatif juga menimbulkan kesan positif yang besar, tetapi apa yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak bersalah itu, yang menjadi mangsa bencana ini dan mati atau cedera atau menjadi cacat, apa yang mereka lakukan lakukan sehingga mendapatkannya? Apa yang telah dilakukan oleh kanak-kanak itu sehingga layak mati di bawah runtuhan?
Jawapan untuk soalan ini dapat disimpulkan dalam perkara-perkara berikut:
Orang-orang yang tidak bersalah itu sama sekali tidak boleh dipersalahkan. Kita mendapati bahawa apa yang boleh dianggap sebagai perkara jahat yang menimpa mereka sebenarnya adalah baik bagi mereka, jika kita memikirkannya dengan teliti, seperti yang Allah SWT firmankan:
Barangkali kamu mungkin membenci sesuatu padahal ia baik untuk kamu
Qur’an 2:217
Orang yang mati dalam gempa bumi, misalnya, terus menuju ke syurga dan dia akan menyedari bahawa inilah penyebab dia segera ke sana, malapetaka yang dia hadapi dalam ujian ini, sekiranya tidak kerana nya dia mungkin masih diberi peluang untuk hidup dan menyimpang dari Jalan Tuhan dan dengan itu akan menghadapi hukuman dan siksaan. Orang ini, ketika dia melihat syurga yang sangat indah dan nikmat yang abadi, berterima kasih kepada Tuhan yang Maha Berkuasa berjuta kali kerana membuatnya menghadapi cobaan dan gempa itu, sehingga memungkinkan dia menerima semua nikmat itu.
Kanak-kanak yang mati dalam runtuhan pula memang menderita pada saat-saat sebelum kematiannya. Namun, ketika dia melangkah ke alam akhirat dan menyedari bahawa seandainya dia diberi kesempatan untuk hidup dan menjadi dewasa, dia mungkin telah memilih untuk tidak percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa atau tersasar dari jalan-Nya. Anak ini pada ketika itu menyedari bahawa kematiannya pada usia muda ini adalah satu kurnia atau nikmat yang diberikan oleh Tuhan Yang Maha Esa kepadanya.
Seperti yang kita katakan, tidak betul jika kita melihat perkara-perkara dengan akal sempit. Kita harus melihat hasil akhir yang dicapai oleh orang yang tidak bersalah itu dengan mati diakibatkan bencana alam. Adakah hasil akhir ini tidak jutaan kali lebih baik daripada terdedah kepada api neraka dan berkekalan di dalamnya?
Dalam banyak kesempatan, seperti yang dilaporkan oleh para Imam Ahl al-Bayt (Selawat ke atas mereka), malapetaka yang menimpa seorang manusia adalah setara dengan pengampunan atas dosa-dosa yang telah dia lakukan untuk mengembalikannya.
Manusia yang tidak taat dan keliru ini (di sisi Tuhan) dimana ketika bencana alam menimpanya, yang mengakibatkan dia tidak dapat berjalan, misalnya, menyebabkan dia merenung dirii, kembali ke jalan yang asal, memohon pengampunan dan memperbaiki hubungannya dengan Tuhan Yang Maha Besar dan orang lain supaya dia tidak menindas sesiapa atau merampas hak orang lain lagi.
Ini lebih baik daripada orang yang tetap kufur sehingga dia akhirnya mati dalam keadaan itu dan menghadapi hukuman yang kekal, sama halnya, ia lebih baik daripada orang itu terus-menerus menindas orang lain tanpa dia ditimpa apa-apa pun di dunia ini yang meluruskannya dan membuatnya kembali menjauh daripada penindasan dan penyelewengan.
Bencana alam, apabila ianya terjadi, berfungsi untuk membangunkan manusia daripada sikap tidak peduli mereka dan membuat mereka memahami bahawa tidak ada jalan lain bagi manusia selain untuk kembali kepada Tuhan. Ini adalah faedah yang melebihi kehilangan sebahagian anggota badan atau harta benda. Segala-galanya di dunia memudar jika kita bandingkan kerana ia hanyalah bersifat sementara di mana manusia hidup untuk jangka waktu yang biasanya tidak lebih daripada seratus tahun.
Apabila doktor merawat pesakit kanser, misalnya, di dalam banyak kejadian dia akan terpaksa memotong kakinya. Kita tidak boleh menggambarkan perbuatan ini sebagai jahat atau berbahaya, kerana doktor hanya fokus pada perkara yang lebih utama dan lebih penting daripada membiarkan sahaja kaki itu, dan itu bererti menjaga nyawa orang itu sendiri kerana jika kaki itu tetap bersambung, kanser akan terus merebak kepada anggota badan lain yang akan mungkin akan mengakibatkan kehilangan nyawa seseorang.
Inilah caranya bagi Tuhan Yang Maha Berkuasa. Apabila bencana alam berlaku, apa yang dibawa bersamanya dengan sesetengah orang kehilangan anggota badan atau harta benda, sebenarnya adalah cara untuk melindungi apa yang yang lebih utama dan yang lebih penting dalam kehidupan mereka di dunia dan juga akhirat.
Sekiranya kita mengkaji sejarah, kita akan dapati apabila bencana alam melanda manusia, ia berperanan dalam mewujudkan jalan keluar untuk membangunkan potensi mereka dan peningkatan produktiviti mereka. Mereka yang terselamat kebiasaannya, setelah ditimpa bencana, menguatkan tekad menuju kemajuan dan kejayaan.
Atas sebab inilah kita dapati bahawa banyak kebangkitan manusia hanya terjadi setelah bencana atau perang berlaku dengan fakta bahawa bencana tersebut mengubah cara hidup yang stagnan dan menanam benih persaingan dan rangsangan dalam jiwa manusia, membebaskan mereka untuk terus menjadi pencetus ke dalam aspek kehidupan serta kemajuan yang ada dalam diri mereka.
Oleh itu, seringkali kita dapati bahawa para saintis terhebat dan paling cerdik adalah antara mereka yang pernah mengalami kehilangan secara langsung sama ada dengan kehilangan orang yang disayangi atau anggota badan mereka atau harta benda mereka yang diakibatkan oleh bencana yang melanda. Mereka kemudian berfikir dengan serius untuk memajukan umat manusia dengan melindungi mereka daripada bala bencana dan peperangan dan ini merupakan matlamat yang sangat positif.
Kehidupan tanpa masalah atau bencana tidak lain adalah kehidupan yang stagnan yang mendorong seseorang ke arah kebiasaan hidup dan pengunduran diri dan sesekali tidak mendorongnya ke arah kemajuan kerana desakan adalah ibu segala ciptaan. Inilah sebabnya mengapa kita mendapati bahawa ibu bapa yang bertanggungjawab menyerahkan anak-anak mereka ke dunia nyata bersama dengan semua masalahnya sehingga mereka dapat belajar menghadapi kehidupan dan maju di dalamnya.
Inilah sebabnya mengapa mereka membesarkan anak-anak yang baik dan produktif. Bagi ibu bapa yang merosakkan anak-anak mereka dan memenuhi segalanya buat mereka untuk menjauhkan mereka dari masalah kehidupan, anak-anak mereka mungkin berpotensi untuk menjadi perosak yang tidak memiliki apa-apa, pembuat masalah dan tidak akan peduli dengan perkara lain selain daripada mengunjungi pusat-pusat hiburan dan rumah pelacuran dan tidak mempunyai tujuan hidup dalam apa jua sekalipun.
Sekiranya kita mengkaji juga sejarah, kita akan dapati bahawa banyak sistem manusia yang dibentuk untuk mengatur dunia ini sesuai dengan keadilan dan kesetaraan, hanya dibentuk setelah berlakunya bencana dan peperangan, kerana ia seperti loceng penggera yang membuat manusia saling menghormati satu sama lain dan mereka membina hubungan dan sistem baru untuk mentadbirkannya yang dibina atas landasan yang diaspirasikan untuk memberi keadilan, kesaksamaan dan hak asasi manusia. Bencana membuat mereka berfikir kembali tentang makna hidup bersama dan perlunya manusia saling menyokong, berdampingan, menebus kembali harga sebuah kehilangan yang mengorbankan nyawa dan harta benda.
Pejabat Syeikh al-Habib